Wednesday, November 25, 2009

Buku : Culture, Language And Literature : Paper In Honour Od Thailand-Malaysia Cooperation

Tajuk : Culture, Language and Literature : Paper in Honour of Thailand-Malaysia Cooperation
Penulis : S.M. Zakir Mohamad Saleeh Rahamad Kemtong Sinwongsuwat
Penerbitan : Faculty Of Liberal Arts, Prince Of Songkla University, Hatnyai, Thailand & National Writers Assiociation Malaysia (PENA)

Sinopsis :
From the 17th till the 19th of 2008, an academic meeting was held at the Depatment of Languages and Linguistics, Faculty of Liberal Arts, University Prince of Songkla Hatnyai, Thailand. In conjunction with National Writers Assosiation Malaysia (PENA), the colloquium aims to promote academic discussion in a friendly atmosphere among language teachers, scholars, and graduate students on topic and isues related a number of research papers based on empirical studies and recent information on culture, language and literaly education of both countries. Relizing that these papers full of such information deserves to be disseminated to a large audience to improve their understanding about the academic world that is acting as a cross-cultural evperience, hence this book was published.

Read more...

Antologi Sajak Prihatin Palestin

Tajuk Buku : Antologi Sajak Prihatin Palestin

Genting Gaza, Gentingnya, Genting
ISBN 978-983-42578-9-7
Pengarang : Shamsudin Othman
S.M. Zakir

Sinopsis :
Daripada cetusan spontan penyair-penyair di Rumah PENA yang berkumpul membaca sajak-sajak yang memprotes keras kekjaman Zionis-Israel terhadap umat Islam Palestin di Gaza, dalam serangan ganas yang bermula pada 27 Disember 2008 sehingga berlanjutan ke tahun 2009 telah menghimpunkan sejumlah puisi yang cukup menguja. Ia bukan sekadar menyatakan simpati dan kemarahan terhadap rejim Zionis-Israel tetapi juga membawa suara penyair yang dalam apa keadaan pun menolak kekejaman perang. Melihat kanak-kanak yang tidak berdosa dibunauh dengan kejam oleh tentera Israel,begitu juga orang awam yang tidak berupaya dibom seperti benda permainan memarakkan semangat penyair untuk bangkit menyeru dunia agar segera menghentikan segala perbuatan kebinatangan itu.

Read more...

Buku : Persuratan Dan Peradaban Nasional

Tajuk : Persuratan Dan Peradaban Nasional

Pengarang : Mohamad Saleeh Rahamad
S.M. Zakir
Shamsudin Othman

Tahun diterbitkan : 2006
ISBN 98342578-3-XISBN 98342578-3-X

Penerbit : Persatuan Penulis Nasional Malaysia(PENA)

Sinopsis:
Merentas wacana yang pelbagai dengan persepsi daripada kerencaman idealisme dan etnik. Terhasil daripada suatu pertemuan intelektual Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional pada 4-6 Ogos 2006, buku ini bukan sahaja merakam perjalanan sejarah intelektual dan pemikiran malah berupaya memterjemahkan rupa bangsa di Malaysia yang tetap dengan akar masing-masing. Sememangnya ada perbezaan aspirasi daripada etnik yang berlainan,namun setiap pandangan masih berdasarkan kesedaran kebangsaan yang bersifat kolektif. Dalam konteks semasa makalah dalam buku ini memberikan inspirasi kepada pembuat dasar untuk merangka pelan tindakan yang lebih formal dan berwewenang untuk masa hadapan. Sekurang-kurangnya sudah ada bayangan yang bakal diterima secara kolektif oleh majoriti etnik yang pelbagaicdi negara ini, terutamanya tentang Dasar Kesusasteraan Nasional.

Read more...

Baca Puisi - Bukti Perpaduan - 5 Jun 2009

Penyair terus bersemangat jayakan majlis meskipun dilanda 'musibah' pada saat akhir

MALAM Baca Puisi Pena membuktikan perpaduan kukuh di kalangan warga penyair negara ini dalam usaha mereka memasyarakatkan genre terbabit apabila ketiadaan hos pada saat akhir seperti dirancang, tidak menjejaskan persembahan program.

Tindakan pantas Dr Ahmad Razali dan Shamsudin Othman menjadi moderator bidan terjun menyelamatkan program terbabit daripada dibatalkan dan keuzuran rpmbongan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) pimpinan Dr Rosli Sahudin tidak memberi kesan.

Ramai penyair sedia menawar bakti untuk beraksi di pentas puisi yang menampilkan tetamu undangan khas iaitu Sahrunizam Abd Talib, Marjan S, Daeng Ramliakil dan anak Sasterawan Negara (SN), Allahyarham (Dr) Arena Wati, Hasanuddin.

Penyair kelahiran Pahang, Daeng Ramliakil, menggegarkan gelanggang dengan puisinya, Seloka Haji Mufti bin Muhammad Duniawi, Kawanku Penyewa Hotel 7 Bintang Neraka Wil, bernada sinis mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pembelaan terhadap bahasa dan bangsa Melayu diteruskan penyair cilik, Syed Mohamad Idris yang juga anak Daeng Ramliakil ketika membaca, Gurindam Islam Kini karyanya ayahnya dan tidak kurang sinis apabila menyindir manusia berdosa dan lupa diri kepada kekuasaan Ilahi.

Tak ramai berani bijaksana pilih akal

jadi penentang penjajah kini,

nyata syaitan

dan jin berlembaga manusia.

Muslimin kini tak dihormati tak dicontohi

berlambak, bertimbun bercabang lidah lagi keji.

Mukmin dunia ini sudah letih, sudah lesu

asyik-asyik jin dan iblis yang berdosa bernoda kaya raya.

Persembahan beremosi, Ketua Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Mohamad Daud Mohamad, lewat Nyanyian Dari Diri juga protes terhadap PPSMI yang dilihat meminggirkan anak Melayu secara di luar sedar dalam jangka panjang mendapat simpati khalayak.

Dengan sejuta alasan lidah tak berlapik

Menyuarakan PPSMI itu

Demi masa depan anak bangsa

Sedangkan dia sengaja

Membelakangkan perlembagaan negara

Deklamator wanita, Zainab Talib, mencuri perhatian khalayak dan menggoyahkan hati lelaki dengan suara manjanya lewat puisi romantisnya, Maafkanku yang menyindir penganiayaan Adam terhadap Hawa kerana terlalu murah hati dalam memberi maaf.

Wahai insan ....

Maafkanlah aku ....

Kerana hatiku penuh kemaafan

Biarpun seribu aniaya terhadapku

Namun sejuta kemaafan tetap kuhulurkan

Maafkanlah aku.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (E-Dagang), Universiti Kuala Lumpur (UNIKL), Amran Ibrahim Rashidi, turut dikenali sebagai D’Rimba dan semakin aktif di gelanggang puisi tampil dengan puisi Percakapan Kepada Yang Setia karya penyair mapan, Shamsudin Othman.

Merdeka dan Ogosku yang setia

Mari kita tabur dan siramkan tanah warisan ini

Dengan sumpah berharum mawar.

Johan Pertandingan Puisi Kemerdekaan 2008 , Nik Mustakim Nik Musa yang juga pelajar Diploma Pentadbiran Perniagaan International Islamic Colleague (IIC) turut memeriahkan majlis dengan puisi karya Jariah aji Taha, Di Bawah Bumbung Langit-Mu

Di bawah bumbung langit-Mu tempat kita berteduh

Telah tertuang ke bumi lima puluh tujuh kolah air mata

Kini menjadi kolam tempat kita mencuci luka lalu

Hingga tidak tersisa pun segaris kepedihannya.

~admin

PUISI, syair dan gurindam sejak dari dulu memang dekat di hati masyarakat walau di mana juga tanpa mengira batas kaum mahupun sempadan negara. Karya-karya seni itu menjadi saluran dan nadi kepada para karyawan dalam usaha untuk menyuarakan isi hati mereka kepada umum. Malah, golongan ini juga sanggup memerah minda bagi menjadikan karya-karya nukilan mereka sebagai sebahagian daripada luahan yang mewakili isi hati masyarakat. Pelbagai tema yang dititip daripada rencah-rencah kehidupan semasa telah diangkat menerusi bait-bait kata yang penuh puitis tetapi sarat dengan mesej yang tersirat. Pendekatan itulah yang telah diserapkan pada program bulanan Baca Puisi di Rumah Persatuan Penulis Nasional (Pena) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kedinginan malam pada malam itu seakan-akan dihangatkan dengan deklamasi puisi kalangan ahli Pena yang begitu peka dengan perkembangan semasa. Pelbagai jenis puisi dan gurindam telah dipersembahkan, tetapi yang menjadi topik popular pada program itu ialah tentang perjalanan di negara Thailand yang dilawati oleh beberapa orang ahli PENA.

Program yang sepatutnya diacarakan oleh Dr. Ibrahim Ghaffar pada malam itu menampilkan ramai penyair daripada kalangan orang lama dan generasi baru. Walaupun beliau sedikit kelewatan pada malam tersebut disebabkan oleh perkara yang tidak dapat dielakkan, namun majlis tersebut masih hangat diteruskan dengan diambil alih oleh Dr. Razali Yusof dan En. Shamsudin Othman.Menariknya program itu memperlihatkan kreativiti dan inovasi para penyair dengan gaya pendeklamasian mereka yang tersendiri.

Topik yang berkisar tentang virus Influenza A (H1N1) terus menjadi pilihan para pemuisi, antaranya menerusi kemunculan Khalid Salleh yang mendeklamasikan puisinya yang berjudul Babi dan Kebabian. Khalid menggunakan pendekatannya menggunakan subjek 'babi' sebagai metaforanya untuk menggambarkan tentang keadaan yang melanda dunia dan sikap manusia.

Para penyair lain yang turut mendeklamasi puisi ialah Mohamad Daud Mohamad, SM Zakir, Dr. Razali Yusof, En. Shamsudin Othman, Daeng Ramli Md. Akil, Amiruddin Mohd Ali Hanafiah, Raja Rajeswari Seetha Raman dan ramai lagi.

Read more...

Baca Puisi PENA - Dewan Sastera (Pengakuan Penyair)

Program baca puisi ini telah berlangsung di Laman PENA pada setiap bulan minggu pertama sejak Jun 1998. Acara ini merupakan acara sastera yang paling popular dan paling konsisten di Malaysia buat masa ini.

Bermula Ogos 2005, PENA telah memperkenalkan Baca Puisi PENA-Dewan Sastera : Pengakuan Penyair oleh tiga orang penyair yang dijemput bukan sahaja membaca puisi tetapi juga mengutarakan proses kreatifnya. Baca Puisi PENA-Dewan Sastera : Pengakuan Penyair bermula Ogos 2005 dianjurkan bersama Majalah Dewan Sastera, Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP). Bagaimanapun bermula pada 6 April 2007 PENA kembali kepada Baca Puisi secara santai dengan mengundang mana-mana institusi atau individu secara bebas. Aktiviti ini yang dijalankan pada setiap hari Jumaat minggu pertama setiap bulan boleh dihadiri oleh sesiapa sahaja yang ingin mendekatkan diri dengan aktiviti berpuisi.

Read more...

Catatan Tulus Tentang PPSMI

1 CATATAN TULUS TENTANG PPSMI
UNTUK YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN

Assalamualaikum ,
YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kiranya tidaklah terlalu lambat untuk mengucapkan setinggi tahniah dan doa semoga Allah merestui Tan Sri atas sekalian kejayaan serta pekerjaan yang baik untuk rakyat dan negara.

Pada kesempatan pertemuan pertama antara YAB Tan Sri dengan kumpulan sasterawan tanah air, kami dengan hormat takzim menyampaikan pandangan tentang PPSMI kepada YAB selaku Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Pelajaran.

1. Isu Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik (PPSMI) seperti yang Tan Sri maklumi, sudah berlarutan begitu lama. Pelbagai ucapan, dialog, debat, kajian , memorandum dan malahan protes baik dalam majlis tertutup, dalam persidangan terbuka, mahupun dalam tunjuk perasaan di jalan raya telah diadakan, terutama di kalangan masyarakat Melayu-Islam.

2. Sebelum PPSMI dilaksanakan pada 2003, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), telah mengeluarkan kenyataan akhbar , tepatnya pada 20 Jun 2002, menentang keputusan kerajaan menggantikan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris, sebagai bahasa pengantar sains dan matematik. Jadi ini bukan perkara yang hanya baru-baru ini sahaja dibangkitkan. Penentangan PENA ini dibuat berdasarkan pertimbangan terhadap sejarah perjuangan kemerdekaan, Dasar Kebudayaan Negara , Perlembagaan Persekutuan, dan demokrasi pendidikan.

Tidaklah perlu dihuraikan di sini betapa dekatnya bahasa Melayu ini dengan hati orang Melayu dalam sejarah perjuangan kebangsaan sehingga Dewan Bahasa dan Pustaka itu sendiri ditubuhkan setahun lebih awal sebelum negara merdeka pada tahun 1957 dengan harapan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi akan menjadi landasan pembinaan bangsa dan jati diri negara yang merdeka. Akan tetapi lebih daripada itu adalah menjadi visi para pejuang agar bahasa kebangsaan kita menjadi wahana pembangunan fikiran yang saintifik
dan pembentukan emosi serta rohani yang mulia dan patriotik di kalangan rakyat pelbagai kaum dan budaya. Kepada pemimpin UMNO terutamanya diberikan kepercayaan besar untuk menjadi pemelihara atau custodian bagi kesejahteraan martabat dan kemajuan bahasa. Malangnya setelah 47 tahun kita menikmati kemerdekaan dan mencapai kemajuan ekonomi serta kebendaan, bahasa itu dianggap tidak penting lagi dan dengan gopoh serta tergesa-gesa ditolak ke tepi dalam sistem pendidikan negara oleh kerajaan.

3. Pihak kerajaan, terutama Kementerian Pelajaran, tidak memberi alasan-alasan yang kuat, rationale yang meyakinkan di sebalik dasar PPSMI, dan malah dari waktu ke waktu mengeluarkan premis atau andaian hujahan yang berubah-ubah yang sekaliannya menandakan tidak ada pemikiran yang mendalam, jelas dan teliti untuk mengganti bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sains dan matematik yang telah diamalkan sejak 1971, dan telah berjaya melahirkan jutaan graduan, profesional dan ilmuwan.

Apa yang selalu didengar ialah alasan untuk memperkuat penguasaan berbahasa Inggeris di kalangan pelajar bagi kepentingan ilmu pengetahuan, kerjaya dan keupayaan negara untuk bersaing dalam zaman global. Tidak ada mana-mana pihak yang menentang tujuan dan usaha ke arah ini, tetapi jangan sampai meminggirkan kedudukan dan fungsi penting bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; dan menghalang perkembangannya menjadi bahasa ilmu moden pada masa akan datang. Penafian bahasa seperti ini boleh ditafsirkan sebagai melakukan diskriminasi songsang (reverse discrimination) dan pembunuhan bahasa (linguicide) bukan sahaja terhadap bahasa kebangsaan negara, tetapi juga terhadap tradisi dan tamadun orang Melayu yang telah berzaman-zaman lamanya berkembang melalui bahasa Melayu. Malahan agama Islam pun berkembang hebat di Nusantara melalui dakwah, khutbah, tarbiah serta kitab-kitab yang menggunakan bahasa Melayu sehingga hari ini.

Apakah hanya dengan cara yang ada sekarang, iaitu melalui PPSMI, dan tidak ada cara lain lagi yang mampu difikirkan untuk mencapai tujuan memaju dan meningkatkan daya saing Malaysia?

4 Adalah sangat mendukacitakan apabila pihak kementerian tidak memberi layanan wajar dan mesra terhadap pelbagai pendapat, kritikan dan kajian yang dikemukakan seolah-olah pihak yang memberi pandangan yang kontra ini tidak bertujuan jujur dan berfikiran munasabah. Hanya pada penghujung 2008 baru diadakan Persidangan Meja Bulat yang pula mengandungi banyak tanda tanya tentang cara pengendalian dan rumusan keputusannya. Malahan ada usaha-usaha untuk mengimbangi atau melawan pandangan yang menentang PPSMI dengan mengatur tindakan-tindakan daripada kelompok-kelompok tertentu seolah-olah ini suatu permainan politik, bukan suatu persoalan pendidikan dan kebudayaan yang dasar. Kesan daripada keadaan yang seperti ini ialah, pada pandangan penulis dan ilmuwan: kerajaan tidak sensitif kepada suara ikhlas rakyat, dan mahu terus menunjukkan kekuasaan serta ketegasannya dalam apa saja yang telah diputuskan. Tidaklah jelas apakah sikap pendirian yang seperti ini adalah kerana pihak YB Menteri tidak diberi pandangan yang jujur oleh pegawai-pegawai dalam kementerian atau diberikan maklumat yang salah oleh penasihat-penasihatnya.

Walau apa pun sebabnya sangatlah merugikan masyarakat apabila tidak ada kerjasama yang akrab, malahan kecurigaan serta pertentangan, antara pihak pemimpin politik kerajaan dengan budayawan serta ilmuwan, pada saat negara kita harus menjadi stabil dan kompetitif dalam kemelut politik dalaman, dan ketidaktentuan ekonomi serta kewangan dunia hari ini.

5. Harapan besar dan tinggi kaum penulis dan ilmuwan sekarang ialah pucuk pimpinan negara yang baru, khususnya kepada YAB Tan Sri selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran:

(i) mengembalikan dengan serta merta pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sains dan matematik ( di sekolah rendah dan juga di sekolah menengah) sebelum berlaku lebih banyak lagi kesan buruk terhadap perkembangan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu moden, dan pendidikan murid-murid terutama anak-anak Melayu di luar bandar dan di pinggir-pinggir bandar; dan

(ii) memperkemas kurikulum, kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris, meningkatkan kemahiran guru , dan memperbaiki kemudahan kepustakaan serta teknologi pendidikan bahasa di sekolah.

Tindakan serampang dua mata inilah yang boleh menyelesaikan pertikaian PPSMI, dan mengembalikan kepercayaan kaum penulis, ilmuwan dan budayawan terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan Barisan Nasional, terutama untuk mengikis anggapan bahawa pemimpin negara telah bertindak sangat authoritarian walaupun dalam hal yang menyangkut kehidupan berjuta-juta pelajar dan ibu-bapa , dan maruah bahasa serta tamadun Melayu itu sendiri.

Hanya sekian dahulu, dan kami berharap pintu musyawarah dengan Tan Sri akan terus terbuka, dan anggaplah pandangan kami ini sebagai pernyataan yang tulus ikhlas demi kepentingan masa depan pendidikan, tamadun, bahasa, serta negara kita; dan tak ada niat yang lain daripada itu.

Wassalam

Baha Zain
Presiden,
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).
19 Mei, 2009/ 24 Jamadilawal 1430

Tuesday, November 24, 2009

Perhimpunan Penulis Muda Malaysia

TEMA

SASTERA SUARA KEMANUSIAAN ABAD BARU

KONSEP

Pembentukan idealisme kesasterawanan dan intelektualiti kesarjanaan sebagai teras kesusasteraan abad baru.

MATLAMAT

1. Menjadikan sastera sebagai pembentuk nilai masyarakat yang harmoni.

2. Menjadikan sastera sebagai penghubung budaya serantau dan sejagat.

3. Menjadikan sastera sebagai suara kemanusiaan sejagat.

4. Menjadikan sastera sebagai wadah pemikiran dan kreativiti anak muda

5. Menjadikan sastera sebagai wadah perpaduan kaum

Perhimpunan Penulis Muda PENA Malaysia (PPPMM) 2009 II merupakan perhimpunan penulis muda yang kedua setelah PPMM2005 di Tanjung Piai, Pontian, Johor. PPPMM09 ini diadakan sebagai suatu usaha untuk melihat perkembangan dunia kesusasteraan pada masa hadapan. Pandangan dan idealisme sasterawan muda pada hari ini dapat dilihat sebagai satu gambaran terhadap bentuk dan wajah sastera pada masa hadapan.

Sejarah dunia kesusasteraan Melayu telah melalui zaman yang panjang. Ia mula berkembang mantap pada zaman Asas 50 yang memperjuangkan idealisme ‘seni untuk masyarakat’. Zaman ini dilihat sebagai gelombang semangat kemerdekaan yang mencari landasan bagi keperibadian sastera Melayu. Lambang daripada gerakan ini ialah wujudnya institusi bahasa dan kesusasteraan Melayu iaitu, Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada dekad penghujung 60-an dan awal 70-an memperlihatkan gelombang nasionalisme yang idealis, menggerakkan perjuangan ke arah meletakkan unsur-unsur keMelayuan sebagai asas pembinaan negara. Gerakan ini berakar di institusi pengajian tinggi terutamanya Universiti Malaya. Kejayaan besar dari gerakan jalur kedua menghasilkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Persatuan-persatuan Penulis.

Pada dekad 80-an membawa kepada 90-an wujud semacam gerakan yang berbeza daripada dua zaman awal tadi. Zaman ini mewakili proses pemantapan dunia kesusasteraan Melayu yang didukung oleh tenaga intelektual dan birokrasi yang membawa cita-cita kerajaan ke arah pembangunan negara maju. Pada akhir dekad 90-an, dibawa juga tempias daripada gerakan penulis muda pada sekitar dekad 80-an lahir beberapa bentuk gerakan idealisme kesasterawanan daripada sebilangan penulis muda. Gerakan tersebut telah membawa lahirnya karya dan pemikiran yang berbeza daripada dekad sebelumnya hasil daripada produk Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah melahirkan kumpulan besar golongan menengah bumiputera.

Kehadiran penulis-penulis muda ini mula dilihat penting bermula pada sekitar tahun 90-an apabila mereka diberikan tempat yang luas di dalam ruang-ruang kesusasteraan. Dekad 90-an membawa kepada dekad 2000-an merupakan era baru kesusasteraan yang dilihat merungkai hegemoni orientasi pemikiran sastera abad ke-20, yang penuh dengan idealisme nasional. Sebaliknya pada dekad awal abad ke-21 ini penulis-penulis muda yang lahir dilihat melakur dalam era pensejagatan yang menggabungkan ‘yang ideal’ dan ‘yang realiti’. Penulis-penulis muda pada era ini telah muncul untuk membawa suatu bentuk idealisme pensejagatan. Dalam masa yang sama memperjuangkan nilai-nilai estetika sastera Melayu melalui pendekatan zaman abad ke-21.

Melaka selain daripada telah diiktiraf sebagai tapak warisan dunia juga merupakan tapak kepada tamadun gemilang Melayu. Amatlah wajar untuk membawa generasi muda mengenali sejarah tamadun Melayu yang gemilang ini. PPMM09 ini merupakan landasan yang amat baik untuk membawa generasi muda kepada kesedaran sejarah khususnya sejarah kegemilangan Melaka. Sekaligus mengenalkan generasi muda ini kepada sejarah perkembangan negara – Malaysia

Read more...

Dari Abad Ke Abad : Pemugaran Kreativiti dan Kepimpinan PENA

Sepuluh tahun terakhir abad ke-20 adalah era yang khas bagi persatuan penulis nasional ini. Sejumlah kegiatan menarik berlaku di bawah pentadbiran baru PENA pada tahun-tahun 90-an. Pada tahun 1994 telah dianjurkan "Persidangan Penulis Se-Asia 1991" secara besar-besaran dengan membawa tema pokok "Peranan pPenilis dalam Peradaban Asia Masa Depan". Nama-nama besar dari golongan cendiakawan, pengarang dan politik Asia diundang untuk berucap di persidangan ini. Wacana besar ini memperlihatkan sikap terbuka PENA untuk berdialog dengan dunia universal meskipun dasar perjuangan kebangsaannya berlandaskan bahasa dan kebudayaan Melayu.

Sebagai sebuah persatuan yang tidak mempunyai sumber kewangan tetap dan banyak bergantung kepada derma luar, PENA selalu menumpang di sana sini bagi urusan pentadbirannya. Hanya mulai tahun 1997 PENA diberikan sebuah rumah kerajaan yang cukup besar dan menarik kawasannnya di Jalan Dewan Bahasa. Setelah diperbaiki maka mulailah PENA beroperasi secara tetap di sini. Banyak sekali kegiatan penulisan, ceramah dan malah latihan-latihan teater dan juga seni tampak berlangsung di rumah PENA. Maka jadilah rumah ini tempat bakat-bakat baru dan lama berdialog, berkarya, bereksperimen dan hidup dalam berkesenian. Yang penting juga ialah berlakunya interaksi antara pencipta-pencipta berlainan lapangan seperti antara sasterawan dengan pengarca dan pelukis. Kiranya inilah pertembungan produktif yang bermakna di tengah-tengah kesibukan metropolitan, Kuala Lumpur.

Suatu program "Malam Baca Puisi PENA" telah berl;angsung setiap malam Jumaat pertama setiap bulan, sejak tahun 1998. Acara ini diadakan di ruang terbuka, dihalaman PENA secara santai dan bebas bagi memperluas penyertaan terutama daripada ganerasi muda. Malam Baca Puisi PENA ini telah menjadi satu tradisi dan model yang diikuti oleh kelompok-kelompok lain di Kuala Lumpur dan juga di negeri-negeri.

"Dialog Pinggir PENA adalah suatu wacana yang penting supaya penulis-penulis yang sedang naik dapat menilai dan mengkaji mutu fikiran serta kreativiti mereka"

Setiap bulan juga diadakan dialog dan perbincangan (Dialog Pinggir PENA) di kalangan penulis-penulis muda pada hari Ssabtu sebelah pagi dan petang. Ini adalah suatu acara wacana yang penting supaya penulis-penulis yang sedang naik dapat menilai dan mengkaji mutu fikiran serta kreativiti mereka. Bukan sahaja kritikan sastera yang menjadi pokok perbahasan, tetapi isu-isu kreatif serta intelektual juga menjadi topik dialog.

Pucuk pimpinan PENA zaman 90-an ini memberikan banyak perhatian untuk meningkatkan kerja-kerja menghasilkan karya kerana akhirnya yang akan menjadi warisan bangsa ialah karya-karya bermutu itu sendiri. Justeru itu ia menaruh banyak harapan kepada potensi yang ada pada ganerasi muda yang sangat cergas sekarang. Sehingga dalam jawatankuasa kerja PENA pun diperhatikan supaya adanaya penglibatan pengamal-pengamal sastera yang terdiri daripada golongan muda untuk bersama menentukan hala tuju PENA.

Dalam masalah kebudayaan dan yang menyangkut kehidupan penulis, PENA selalu mengambil langkah-langkah segera bagi memperjuangkan kepentingan masyarakat pencipta. Sejak zaman awalnya fikiran dan cadangan-cadangan yang khas serta dicatat dalam bentuk memoranda bagi dikaji oleh pihak berkuasa supaya dapat dijadikan dasar dan dilaksanakan. Selain daripada pelbagai memoranda tentang hadiah sastera, PENA juga mengeluarkan memoranda tentang pelaksanaan Bahasa Kebangsaan dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan; tentang Pengajian Melayu di Universiti Malaya, dan tentang percukaian serta loyalti. Dari tahun 1992 hingga tahun 2004 sahaja sekurang-kurangnya enam memoranda penting dikeluarkan oleh PENA

Read more...

Zaman Mengisi Pembangunan

Dekad 80-an adalah dekad pembangunan setelah beberapa dasar ekonomi dan budaya diwujudkan bagi membanteras kemiskinan, menyusun semula masyarakat dan meletakkan asas-asas bagi membina perpaduan serta jati diri bangsa. Walau bagaimanapun, perpecahan dalam parti politik yang memerintah kemudiannya memberikan kesan juga kepada kaum penulis. PENA sedikit sebanyak terjejas juga apabila berlaku puak-puak yang memihak kepada kelompok-kelompok politik yang bertentangan.

Oleh kerana tradisi dan perjuangan PENA itu tidak memihak kepada mana-manan politik kepartian, dan selalu toleransi terhadap aneka warna fahaman ahli-ahlinya,maka perbezaan-perbezaan yang ada natara pemimpin dan ahlinya tidaklah terus menjejaskan kelangsungan hayat PENA. Di sinilah letaknya kekuatan dan intergriti PENA yang sejak semula sangat menghormati kebebasan mencipta serta bersuara di kalangan penulis. Kebebasan individu inilah yang dihormati PENA untuk mengelakkan organisasi daripada berpecah atau menjadi alat propaganda mana-mana pihak.

Perhubungan antara PENA dan pihak kerajaan lebih produktif terutama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menjadi pusat pembinaan dan penerbitan bahasa dan sastera. Ada isu-isu bahasa, sastera dan kebudayaan yang tidak mungkin diungkapkan oleh DBP secara rasmi, dapat dilakukan oleh PENA bagi kepentingan kebangsaan bersama.

Read more...

Ketegangan Dan Kesulitan Awal Kemerdekaan

Dengan ransangan semangat kebangsaan sebuah kertas kerja tentang penubuhan persatuan penulis telah disediakan dalam peetemuan 12 Febuari 1961 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Maka dengan itu bermulalah sejarah sebuah persatuan penulis nasional yang sangat penting pada awal zaman merdeka dengan hala tuju kepada "menyatukan penulis-penulis tanahair dari semua peringkat dan segala aliran pendapat; dan berusaha seluas-luasnya dalam lapangan bahasa, kesusasteraan dan ilmu pengetahuan, bersesuaian dengan kepentingan-kepentingan nasional dengan tidak terikat kepada dasar politik kepartian dan terkeluar daripada bidang undang-undang Negara" (Tujuan, Perlembagaan PENA).

Suatu hal yang cukup menarik daripada komposisi ahli-ahli jawatankuasa PENA pertama ialah nama-nama yang ada itu terdiri daripada orang yang pelbagai jenis kecenderungan dan pendiriannya baik dari segi politik atau sosial. Usman Awang, Syed Husin Ali, Kassim Ahmad dan Wan A. Hamid misalnya cenderung ke arah pemikiran kiri atau sosialis, sedangkan Ali Haji Ahmad dan Aishah Ghani jelas sangat akrab atau cergas dalam parti politik UMNO. Selainnya terdiri daripada ahli akademik dan budayawan. Demikian juga pada tahun-tahun selanjutnya dalam dekat 60-an itu kepelbagaian tokoh dalam pimpinan PENA terus berlaku dengan melibatkan juga peribadi-peribadi yang kuat pegangannya pada moral agama Islam seperti Keris Mas dan Abu Zaki Fadzil. Apa yang menemukan pelbagai jenis tokoh ini adalah suatu cita-cita perjuangan bersama, iaitu semangat kebangsaan, perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu, sebagai wahana ilmu, jati diri bangsa, dan perjuangan keadilan sosial-ekonomi.

Dengan berlandaskan semangat serta iltizam tersebut, pelbagai ceramah, forum, dan usaha memperjuangkan hak-hak kaum penulis telah dilakukan seperti dalam soal hak milik penerbitan, hak cipta pengarang dan bayaran royalti serta honorarium. Selain itu, memoranda tentang penggalakan penulisan serta pengiktirafan terhadap kaum penulis telah juga dikemukakan sehingga pihak kerajaan mengadakan hadiah mengarang. Bagi memperluas lagi konumikasi dan pengucapan sastera, PENA telah menerbitkan majalah penulis pada Januari 1964, dan Ogos /Disember 1946. Majalah yang cukup menarik ini (diisi oleh pengarang-pengarang Melayu dan bukan Melayu) malangnya tidak berterusan.

"Isu bahasa, perkauman, kebudayaan dan kemiskinan masih hebat
dibahaskan sehingga kaum penulis yang selalu komited terhadap
masyarakatnya sering menjadi kritis terhadap pemimpin"

Pada dekat 60-an negara masih lagi dalam proses awal yang pahit untuk menyelesaikan saki baki penjajahan dan prasangka perkauman yang masih lagi kuat. Isu bahasa, perkauman, kebudayaan dan kemiskinan masih hebat dibahas sehingga kaum penulis yang selalu komited terhadap masyarakatnya sering menjadi kritis terhadap pemimpin. Dalam keadaan politik nasional yang masih belum kukuh dasar-dasarnya dan dihantui pula oleh perkauman dan kemiskinan, PENA secara tidak langsung melalui aktivitis-aktivitisnya melahirkan puisi-puisi protes yang keras melalui antologi Keranda 152 dan Teluk Gong pada tahun 1967.

Antara penulis dan pemimpin kerajaan banyak perbezaan pandangan terutama dalam isu bahasa sehingga terasa ada ketegangan perhubungan antara kedua-dua belah pihak. Berpunca daripada ini, maka pada Ogos 1967 PENA mengambil inisiatif menggubal "Manifesto Penulis" sebagai menyuarakan kebebasan berucap untuk kaum penulis. Manifesto ini memperlihatkan peranan PENA sebagai jurubicara bagi pihak penulis pada waktu itu berasa hak dan kebebasannya dipersoalkan oleh tokoh-tokoh politik kerajaan.

Read more...

Dari Krisis Ke Pembinaan Asas

Konflik kepentingan dan perbezaan-perbezaan yang besar antara kaum dan kelompok pada awal merdeka akhirnya bertembung dalam krisis perkauman yang berakhir dengan tragedi berdarah pada 13 Mei 1969. Krisi itu membuka mata banyak pihak tentang perlunya perpaduan dan asas kebangsaan yang jelas demi kestabilan negara yang berbilang bangsa. Selepas peristiwa malang ini, maka antara intelektual dan pemimpin politik wujud kebijaksanaan untuk saling membantu. Tokoh-tokoh penulis dalam PENA memberikan fikiran-fikiran penting kepada pihak kerajaan dalam rancangan-rancangan kebudayaan seperti penggalakan dan pengiktirafan sastera, dasar kebudayaan kebangsaan dan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sehingga wujud perhubungan rapat antara penulis dan pemimpin.

Sesuai dengan sikap progresif PENA yang tidak kedaerahan, tidak berpuak-puak dan perkauman, timbul fikiran untuk memperkasa peranan penulis. Bagi menjadikan persatuan-persatuan penulis bergerak lebih bersepadu serta berkesan bukan sahaja di ibu kota, tetapi diperingkat nasional, PENA telah mengambil inisiatif membincangkan gagasan kerjasama antara badan-badan penulis negeri pada 20 September 1969. Pada 23 Oktober 1970 persidangan yang diahdiri oleh 13 persatuan-persatuab penulis dari pelbagai tempat telah bersetuju GAPENA (Gabungan Persatuan-Persatuan Penulis Nasional) ditubuhkan.

"Oleh kerana ahli-ahli PENA itu terdiri daripada sasterawan
penting, ilmuan dan malah birokrat kerajaan penting,
maka tidaklah susah bagi PENA untuk mengumpul idea bernas
bagi diajukan kepada pemimpin kerajaan"

Dekad 70-an merupakan dekad yang sangat penting dalam perkembangan politik Malaysia di bawah Perdana Menteri Tun Abdul Razak. Pada zaman inilah dasar-dasar serta langkah-langkah penting diwujud dan dilaksanakan seperti Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Ekonomi Baru, penyeragaman ejaan Malaysia-Indonesia, penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar mulai di sekolah rendah, dan pengiktirafan terhadap kesusasteraan. Oleh kerana ahli-ahli PENA itu terdiri daripada sasterawan penting, ilmuan malah birokrat kerajaan, maka tidaklah susah bagi PENA mengumpul idea bernas yang diajukan kepada pemimpin kerajaan.

Read more...

Sejarah Penubuhan PENA

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) ditubuhkan pada 12 Febuari 1961 di Dewan Kuliah A, Universiti Malaya,Kuala Lumpur. Pengasasnya ialah A. Samad Ismail, Kamaluddin Muhammad, Said Zahari, Asyraf Hj Wahab, S.Husin Ali, Usman Awang dan Ali Haji Ahmad.

Apabila pendaftarannya disahkan oleh kerajaan pada 2 September 1962, maka bermulalah pergerakan ebuah persatuan penulis peringkat nasional yang sangat penting di Malaysia; lima tahun selepas negara mencapai kemerdekaan. Tetapi kelahiran PENA sesungguhnya, tidak dapat dipisahkan langsung daripada soal kemerdekaan, baik sebelum mahupun selepas hari merdeka itu.

Gerakan intelektual Melayu,terutama yang berhubung dengan persuratan dan kebudayaan Melayulah yang telah menanamkan benih dan member pengarahan kepada semangat dan cita-cita Melayu bagi memperjuangkan isu kemerdekaan.

Alat utama yang digunakan oleh golongan intelektual ini ialah akhbar. Malah semenjak pemerintahan Jepun lagi, sebagai gelanggang mengajukan semangat terhadap Jepun.

Utusan Melayu yang terbit di Singapura selepas pemerintahan Jepun, banyak sekali berbeza, dari segi isi dan tujuannya, daripada Utusan Melayu sebelum itu. Tenaga penggerak di jabatan pengarangnya bukan cuma orang-orang muda, akan tetapi orang-orang muda yang telah merasakan betapa seksa dan terdesaknya hidup pada zaman Jepun. Mereka ini seperti Ishak Haji Muhammad, A. Samad Ismail. Dahari Ali, dan Said Zahari, menjadi “matang politik” dengan kejayaan perjuangan kemerdekaan di Indonesia dan mula mengkonsepsikan sebuah Malaya Merdeka.

Hanya akhbarlah media massa yang dimiliki dan dikendalikan oleh pihak swasta. Oleh kerana sifat dan strukturnya yang agak bebas, kandungan dan tujuannya dapat dicorakkan supaya menjadi bukan sahaja penyampai berita yang boleh “mendidik” pemikiran rakyat, tetapi boleh jugamenanam serta menyebarkan semangat menentang penjajahan. Utusan Melayu selepas perang telah menjadi media ungkap utama dalam soal menggalakkan orang-orang Melayu bersatu tenaga dalam pergerakan politik mereka.

Oleh kerana “kentalnya” semangat perasaan anti penjajah, pengarang dan wartawan-wartawan di Utusan Melayu ketika itu, di samping berita, menggunakan bidang kreatif memberikan poetic licence, justeru skop yang amat luas bagi sang penulis membakar semangat antipenjajahan tanpa terlalu diawasi dan dikesani oleh pemerintah pada waktu itu.

Isu Malayan Union menjadi katalis yang menubuhkan UMNO dan Utusan Melayu jugalah media ungkap yang membantu mengukuh dan menyemarakkan pergerakan UMNO zaman awal itu.

Memang ada penulis-penulis di Semenanjung Tanah Melayu waktu sesudah perang yang menubuhkan persatuan-persatuan penulis dengan tujuan mengeratkan ikatan persaudaraan demi memajukan bidang mereka. Akan tetapi penubuhan persatusan atau ikatan penulis di Singapuralah, terutamanya ASAS 50 di pusat penerbitan itu telah banyak membantu memberikan kewibawaan kepada ASAS 50.

Persoalan-persoalan utama dalam karya kreatif para penyokong ASAS 50 itu adalah kesempitan hidup golongan pekerja dan buruh kasar di kota raya Singapura. Para pekerja ini adalah penghijrah dari desa ke kota yang bukan sahaja harus mencari apa sahaja kerja yang sesuai dengan tahap pendidikan dan kebolehan mereka, tetapi juga harus menghadapi kejutan-kejutan budaya kota yang cara hidupnya sangat berbeza daripada gaya hidup di desa-desa. Persoalan inilah yang terpancar dalam kebanyakan tulisan ahli-ahli ASAS 50 untuk mengarahkan pergerakan itu bagi memperjuangkan kemerdekaan politik, mendaulatkan bhasa Melayu sebagai bahasa ligua franca, dan mempertingkatkan prestasi kesusasteraan dan budaya Melayu.

Empat memorandum yang dikemukakan oleh ASAS 50 kepada pemerintah dan satu lagi kepada Kongres Bahasa dan Persatuan Melayu Ketiga yang diadakan di Singapura dan Johor Bahru pada 16 hingga 21 September 1956 mencerminkan kejituan pemikiran intelektual dalam zaman-zaman awal proses pembinaan negara (nation-building). Memorandum-memorandum tersebut ialah:-

I. Memorandum kepada Suruhanjaya Perlembagaan Rendell;

II. Memorandum mengenai tulisan rumi untuk Bahasa Melayu;

III. Memorandum mengenai Penyata Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu 1956;

IV. Memorandum kepada kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga, mengenai pembentukan Dewan Bahasa dan Pustaka, penyatuan Bahasa Melayu dan Indonesia,peranan bahasa Melayu di sekolah rendah dan menengah dan Perlembagaan bahasa Melayu sekarang dan akan datang.

Dalam memorandum kepada Suruhanjaya Perlembagaan Rendell, Suruhanjaya yang bertanggungjawab bagi menggubal Perlembagaan Melayu yang berpemerintahan sendiri, ASAS 50 menggesa supaya bahasa Melayu dijadikan bahasa perantaraan bagi negara Melayu baru (termasuk Singapura) dan diajar sebagai bahasa Kedua di semua sekolah dan pusat-pusat pembelajaran dan pengajaran. Tetapi di samping soal bahasa,ASAS 50 menyinggung soal pembangunan ekonomi dan pentingnya setiap kaum menikmati kemakmuran dan kemajuan ekonomi yang sama rata.

Katanya : “Sebenarnya perpaduan politik lebih bergantung kepada kemajuan kepentingan ekonomi yang sama di antara kaum-kaum yang berbeza dalam bahasa-bahasa mereka yang mendiami satu-satu kawasan dan tidaklah hanya bergantung kepada pelaksanaan satu bahasa yang sama semata-mata di antara penduduka-penduduk itu.

“Pada masa ini persamaan kepentingan-kepentingan ekonomi ini tidak ada di Malaya. Pembahagian-pembahagian kelas dalam masyarakat Malaya kebanyakannya sama dengan pembahagian-pembahagian perkauman. Yang demikian kami percaya bahawa Perlembagaan yang akan datang Hendaklah mengandungi beberapa syarat yang tertentu untuk menjamin kemajuan ekonomi, pelajaran dan kebudayaan yang sama di antara ketiga-tiga kaum yang yang besar di Malaya, dengan tujuan untuk menghilangkan sebab musabab ekonomi yang telah melahirkan perkauman di negeri ini. “Kami percaya bahawa dengan tercapainya kepentingan-kepentingan politik dan ekonomi yang sama dan dengan adanya keadaan-keadaan yang sama dan taraf hidup yang sama untuk kaum di negeri ini, maka perkauman dan kebudayaan negeri ini juga akan hilang, kerana keadaan material akan wujud di saat itu untuk kemajuan dan perkembangan satu kebudayaan yang sama di antara penduduk-penduduknya.”

(Lihat Memoranda, Angkatan Sasterawan 50, Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1962, hal 7-8)

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Blog Archive

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP