Zaman Mengisi Pembangunan
Dekad 80-an adalah dekad pembangunan setelah beberapa dasar ekonomi dan budaya diwujudkan bagi membanteras kemiskinan, menyusun semula masyarakat dan meletakkan asas-asas bagi membina perpaduan serta jati diri bangsa. Walau bagaimanapun, perpecahan dalam parti politik yang memerintah kemudiannya memberikan kesan juga kepada kaum penulis. PENA sedikit sebanyak terjejas juga apabila berlaku puak-puak yang memihak kepada kelompok-kelompok politik yang bertentangan.
Oleh kerana tradisi dan perjuangan PENA itu tidak memihak kepada mana-manan politik kepartian, dan selalu toleransi terhadap aneka warna fahaman ahli-ahlinya,maka perbezaan-perbezaan yang ada natara pemimpin dan ahlinya tidaklah terus menjejaskan kelangsungan hayat PENA. Di sinilah letaknya kekuatan dan intergriti PENA yang sejak semula sangat menghormati kebebasan mencipta serta bersuara di kalangan penulis. Kebebasan individu inilah yang dihormati PENA untuk mengelakkan organisasi daripada berpecah atau menjadi alat propaganda mana-mana pihak.
Perhubungan antara PENA dan pihak kerajaan lebih produktif terutama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menjadi pusat pembinaan dan penerbitan bahasa dan sastera. Ada isu-isu bahasa, sastera dan kebudayaan yang tidak mungkin diungkapkan oleh DBP secara rasmi, dapat dilakukan oleh PENA bagi kepentingan kebangsaan bersama.
0 comments:
Post a Comment