Ketegangan Dan Kesulitan Awal Kemerdekaan
Dengan ransangan semangat kebangsaan sebuah kertas kerja tentang penubuhan persatuan penulis telah disediakan dalam peetemuan 12 Febuari 1961 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Maka dengan itu bermulalah sejarah sebuah persatuan penulis nasional yang sangat penting pada awal zaman merdeka dengan hala tuju kepada "menyatukan penulis-penulis tanahair dari semua peringkat dan segala aliran pendapat; dan berusaha seluas-luasnya dalam lapangan bahasa, kesusasteraan dan ilmu pengetahuan, bersesuaian dengan kepentingan-kepentingan nasional dengan tidak terikat kepada dasar politik kepartian dan terkeluar daripada bidang undang-undang Negara" (Tujuan, Perlembagaan PENA).
Suatu hal yang cukup menarik daripada komposisi ahli-ahli jawatankuasa PENA pertama ialah nama-nama yang ada itu terdiri daripada orang yang pelbagai jenis kecenderungan dan pendiriannya baik dari segi politik atau sosial. Usman Awang, Syed Husin Ali, Kassim Ahmad dan Wan A. Hamid misalnya cenderung ke arah pemikiran kiri atau sosialis, sedangkan Ali Haji Ahmad dan Aishah Ghani jelas sangat akrab atau cergas dalam parti politik UMNO. Selainnya terdiri daripada ahli akademik dan budayawan. Demikian juga pada tahun-tahun selanjutnya dalam dekat 60-an itu kepelbagaian tokoh dalam pimpinan PENA terus berlaku dengan melibatkan juga peribadi-peribadi yang kuat pegangannya pada moral agama Islam seperti Keris Mas dan Abu Zaki Fadzil. Apa yang menemukan pelbagai jenis tokoh ini adalah suatu cita-cita perjuangan bersama, iaitu semangat kebangsaan, perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu, sebagai wahana ilmu, jati diri bangsa, dan perjuangan keadilan sosial-ekonomi.
Dengan berlandaskan semangat serta iltizam tersebut, pelbagai ceramah, forum, dan usaha memperjuangkan hak-hak kaum penulis telah dilakukan seperti dalam soal hak milik penerbitan, hak cipta pengarang dan bayaran royalti serta honorarium. Selain itu, memoranda tentang penggalakan penulisan serta pengiktirafan terhadap kaum penulis telah juga dikemukakan sehingga pihak kerajaan mengadakan hadiah mengarang. Bagi memperluas lagi konumikasi dan pengucapan sastera, PENA telah menerbitkan majalah penulis pada Januari 1964, dan Ogos /Disember 1946. Majalah yang cukup menarik ini (diisi oleh pengarang-pengarang Melayu dan bukan Melayu) malangnya tidak berterusan.
"Isu bahasa, perkauman, kebudayaan dan kemiskinan masih hebat
dibahaskan sehingga kaum penulis yang selalu komited terhadap
masyarakatnya sering menjadi kritis terhadap pemimpin"
Antara penulis dan pemimpin kerajaan banyak perbezaan pandangan terutama dalam isu bahasa sehingga terasa ada ketegangan perhubungan antara kedua-dua belah pihak. Berpunca daripada ini, maka pada Ogos 1967 PENA mengambil inisiatif menggubal "Manifesto Penulis" sebagai menyuarakan kebebasan berucap untuk kaum penulis. Manifesto ini memperlihatkan peranan PENA sebagai jurubicara bagi pihak penulis pada waktu itu berasa hak dan kebebasannya dipersoalkan oleh tokoh-tokoh politik kerajaan.
0 comments:
Post a Comment