Wednesday, November 25, 2009

Baca Puisi - Bukti Perpaduan - 5 Jun 2009

Penyair terus bersemangat jayakan majlis meskipun dilanda 'musibah' pada saat akhir



MALAM Baca Puisi Pena membuktikan perpaduan kukuh di kalangan warga penyair negara ini dalam usaha mereka memasyarakatkan genre terbabit apabila ketiadaan hos pada saat akhir seperti dirancang, tidak menjejaskan persembahan program.



Tindakan pantas Dr Ahmad Razali dan Shamsudin Othman menjadi moderator bidan terjun menyelamatkan program terbabit daripada dibatalkan dan keuzuran rpmbongan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) pimpinan Dr Rosli Sahudin tidak memberi kesan.



Ramai penyair sedia menawar bakti untuk beraksi di pentas puisi yang menampilkan tetamu undangan khas iaitu Sahrunizam Abd Talib, Marjan S, Daeng Ramliakil dan anak Sasterawan Negara (SN), Allahyarham (Dr) Arena Wati, Hasanuddin.



Penyair kelahiran Pahang, Daeng Ramliakil, menggegarkan gelanggang dengan puisinya, Seloka Haji Mufti bin Muhammad Duniawi, Kawanku Penyewa Hotel 7 Bintang Neraka Wil, bernada sinis mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).



Pembelaan terhadap bahasa dan bangsa Melayu diteruskan penyair cilik, Syed Mohamad Idris yang juga anak Daeng Ramliakil ketika membaca, Gurindam Islam Kini karyanya ayahnya dan tidak kurang sinis apabila menyindir manusia berdosa dan lupa diri kepada kekuasaan Ilahi.



Tak ramai berani bijaksana pilih akal


jadi penentang penjajah kini,


nyata syaitan

dan jin berlembaga manusia.


Muslimin kini tak dihormati tak dicontohi


berlambak, bertimbun bercabang lidah lagi keji.


Mukmin dunia ini sudah letih, sudah lesu


asyik-asyik jin dan iblis yang berdosa bernoda kaya raya.




Persembahan beremosi, Ketua Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Mohamad Daud Mohamad, lewat Nyanyian Dari Diri juga protes terhadap PPSMI yang dilihat meminggirkan anak Melayu secara di luar sedar dalam jangka panjang mendapat simpati khalayak.



Dengan sejuta alasan lidah tak berlapik


Menyuarakan PPSMI itu


Demi masa depan anak bangsa


Sedangkan dia sengaja


Membelakangkan perlembagaan negara




Deklamator wanita, Zainab Talib, mencuri perhatian khalayak dan menggoyahkan hati lelaki dengan suara manjanya lewat puisi romantisnya, Maafkanku yang menyindir penganiayaan Adam terhadap Hawa kerana terlalu murah hati dalam memberi maaf.



Wahai insan ....


Maafkanlah aku ....


Kerana hatiku penuh kemaafan


Biarpun seribu aniaya terhadapku


Namun sejuta kemaafan tetap kuhulurkan


Maafkanlah aku.



Pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (E-Dagang), Universiti Kuala Lumpur (UNIKL), Amran Ibrahim Rashidi, turut dikenali sebagai D’Rimba dan semakin aktif di gelanggang puisi tampil dengan puisi Percakapan Kepada Yang Setia karya penyair mapan, Shamsudin Othman.



Merdeka dan Ogosku yang setia


Mari kita tabur dan siramkan tanah warisan ini


Dengan sumpah berharum mawar.



Johan Pertandingan Puisi Kemerdekaan 2008 , Nik Mustakim Nik Musa yang juga pelajar Diploma Pentadbiran Perniagaan International Islamic Colleague (IIC) turut memeriahkan majlis dengan puisi karya Jariah aji Taha, Di Bawah Bumbung Langit-Mu



Di bawah bumbung langit-Mu tempat kita berteduh


Telah tertuang ke bumi lima puluh tujuh kolah air mata


Kini menjadi kolam tempat kita mencuci luka lalu


Hingga tidak tersisa pun segaris kepedihannya.



~admin

PUISI, syair dan gurindam sejak dari dulu memang dekat di hati masyarakat walau di mana juga tanpa mengira batas kaum mahupun sempadan negara. Karya-karya seni itu menjadi saluran dan nadi kepada para karyawan dalam usaha untuk menyuarakan isi hati mereka kepada umum. Malah, golongan ini juga sanggup memerah minda bagi menjadikan karya-karya nukilan mereka sebagai sebahagian daripada luahan yang mewakili isi hati masyarakat. Pelbagai tema yang dititip daripada rencah-rencah kehidupan semasa telah diangkat menerusi bait-bait kata yang penuh puitis tetapi sarat dengan mesej yang tersirat. Pendekatan itulah yang telah diserapkan pada program bulanan Baca Puisi di Rumah Persatuan Penulis Nasional (Pena) di Kuala Lumpur baru-baru ini.



Kedinginan malam pada malam itu seakan-akan dihangatkan dengan deklamasi puisi kalangan ahli Pena yang begitu peka dengan perkembangan semasa. Pelbagai jenis puisi dan gurindam telah dipersembahkan, tetapi yang menjadi topik popular pada program itu ialah tentang perjalanan di negara Thailand yang dilawati oleh beberapa orang ahli PENA.



Program yang sepatutnya diacarakan oleh Dr. Ibrahim Ghaffar pada malam itu menampilkan ramai penyair daripada kalangan orang lama dan generasi baru. Walaupun beliau sedikit kelewatan pada malam tersebut disebabkan oleh perkara yang tidak dapat dielakkan, namun majlis tersebut masih hangat diteruskan dengan diambil alih oleh Dr. Razali Yusof dan En. Shamsudin Othman.Menariknya program itu memperlihatkan kreativiti dan inovasi para penyair dengan gaya pendeklamasian mereka yang tersendiri.



Topik yang berkisar tentang virus Influenza A (H1N1) terus menjadi pilihan para pemuisi, antaranya menerusi kemunculan Khalid Salleh yang mendeklamasikan puisinya yang berjudul Babi dan Kebabian. Khalid menggunakan pendekatannya menggunakan subjek 'babi' sebagai metaforanya untuk menggambarkan tentang keadaan yang melanda dunia dan sikap manusia.



Para penyair lain yang turut mendeklamasi puisi ialah Mohamad Daud Mohamad, SM Zakir, Dr. Razali Yusof, En. Shamsudin Othman, Daeng Ramli Md. Akil, Amiruddin Mohd Ali Hanafiah, Raja Rajeswari Seetha Raman dan ramai lagi.

1 comments:

daengramliakil June 14, 2011 at 8:44 AM  

terima kasih PENA dan BHarian

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Blog Archive

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP