Monday, September 12, 2011

ZIARAH RAYA KE RUMAH BAHA ZAIN




Salam Aidil Fitri, seusai merayakan di kampung halaman, jemputan rumah terbuka dipenuhi pula. Pada hari Rabu, 7 September yang lalu, AJK PENA dijemput ke rumah Datuk Baha Zain. Walaupun jemputan dipanjangkan kepada AJK namun tidak semua dapat menghadiri kerana hambatan dan kekangan untuk memenuhinya.



AJK PENA diketuai oleh Presidennya, Saleeh Rahamad ditemani oleh SM Zakir, Aminhad, Shamsuddin Othman, Dr. Hanafi Ibrahim, Zalilah Isa. Menyelusuri pinggir kota ke destinasi di Sungai Chincin, Gombak kami sempat singgah di Surau Bandar Dalam untuk menunaikan solat Isya’. Setiba di rumah Baha Zain, Rahimdin Zahari dan Amran Ibrahim sedia menanti.



Sambil menikmati hidangan mee rebus yang disediakan oleh Datin, menyusul pula Dr. Ibrahim Ghaffar dan Pak Ahmad Sarju serta Ahmad Syukri.



Menikmati juadah dan sekaligus bertanya khabar serta bertukar-tukar fikiran di suasana persekitaran yang cukup mengujakan. Persekitaran di rumah Datuk Baha Zain memang sunyi dan amat sesuai untuk berkarya, namun khabarnya kediaman tersebut akan ditinggalkan untuk tinggal bersama anak beliau di Shah Alam. Inilah harga yang harus dibayar ketika anak-anak kecil hiruk pikuk rumah dibuatnya, apabila anak-anak dewasa hanya ibu bapa setia menjadi penghuni.




Kerana sayangkan kediaman yang begitu intim dengan mereka, kedua-dua Datuk Baha dan Datin khabarnya berura-ura memberi kebenaran untuk kediamannya digunakan bagi melaksanakan aktiviti seni dan sastera. InsyaAllah.



Adat orang bertandang, selain menikmati hidangan, sebelum beransur pulang, setiap dari kami dihadiahkan senaskhah buku kecil 'Mutiara Hadis' yang diterbitkan oleh Pustaka Cipta milik beliau. Masing-masing tidak mahu melepaskan peluang untuk meminta buku kecil diautograf oleh penyusunnya, selain mengkagumi tulisan khat Aminhad!

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

Blog Archive

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP