Salam Aidil Fitri, seusai merayakan di kampung halaman, jemputan rumah terbuka dipenuhi pula.Pada hari Rabu, 7 September yang lalu, AJK PENAdijemput ke rumah Datuk Baha Zain.Walaupun jemputan dipanjangkan kepada AJK namun tidak semua dapat menghadiri kerana hambatan dan kekangan untuk memenuhinya.
AJK PENA diketuai oleh Presidennya, Saleeh Rahamad ditemani oleh SM Zakir, Aminhad, Shamsuddin Othman, Dr. Hanafi Ibrahim, Zalilah Isa.Menyelusuri pinggir kota ke destinasi di Sungai Chincin, Gombak kami sempat singgah di Surau Bandar Dalam untuk menunaikan solat Isya’.Setiba di rumah Baha Zain, Rahimdin Zahari dan Amran Ibrahim sedia menanti.
Sambil menikmati hidangan mee rebus yang disediakan oleh Datin, menyusul pula Dr. Ibrahim Ghaffar dan Pak Ahmad Sarju serta Ahmad Syukri.
Menikmati juadah dan sekaligus bertanya khabar serta bertukar-tukar fikiran di suasana persekitaran yang cukup mengujakan. Persekitaran di rumah Datuk Baha Zain memang sunyi dan amat sesuai untuk berkarya, namun khabarnya kediaman tersebut akan ditinggalkan untuk tinggal bersama anak beliau di Shah Alam. Inilah harga yang harus dibayar ketika anak-anak kecil hiruk pikuk rumah dibuatnya, apabila anak-anak dewasa hanya ibu bapa setia menjadi penghuni.
Kerana sayangkan kediaman yang begitu intim dengan mereka, kedua-dua Datuk Baha dan Datin khabarnya berura-ura memberi kebenaran untuk kediamannya digunakan bagi melaksanakan aktiviti seni dan sastera. InsyaAllah.
Adat orang bertandang, selain menikmati hidangan, sebelum beransur pulang, setiap dari kami dihadiahkan senaskhah buku kecil 'Mutiara Hadis' yang diterbitkan oleh Pustaka Cipta milik beliau. Masing-masing tidak mahu melepaskan peluang untuk meminta buku kecil diautograf oleh penyusunnya, selain mengkagumi tulisan khat Aminhad!
Baca Puisi PENA yang telah berjalan selama 11 tahun setiap bulan tanpa henti kini memasuki tahun yang ke-12 pada tahun 2010 ini. Baca Puisi PENA 2010 dimulakan dengan menampilkan tiga orang penyair iaitu Rahman Shaari, Daeng Ramliakil dan Marjan S.
Rahman Shaari merupakan penyair, pendeklamator, pengkiritik dan sarjana sastera yang tidak asing lagi. Beliau terkenal sebagai penghafal puisi yang menghafal beratus-ratus puisi. Beliau juga merupakan pensyarah merangkap Professor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.
Daeng Ramliakil atau nama sebenarnya Ramli Mat Akil adalah sasterawan yang sering tampil dengan karya-karya eksperimental sejak tahun 80-an dan memuncak namanya dalam dekad 90-an. Beliau telah menghasilkan banyak buku perserorangan dan memenangi banyak anugerah sastera.
Marjan S tergolong dalam angkatan penyair yang mengukir nama dalam dekad 90-an dan lebih terserlah pada era 2000-an. Pernah memenangi Hadiah Utama Utusan dalam kategori puisi. Puisi beliau banyak menyuarakan suara rakyat marhaen.
Baca Puisi PENA diadakan seperti biasa di Laman Rumah PENA, 961-7, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur. Bertentangan dengan Wisma MAA dan di belakang Restoran Tupai-tupai. Acara bermula pada jam 8.30 malam. Semua dijemput hadir. Masuk adalah percuma. Makan disediakan.
Tajuk : Culture, Language and Literature : Paper in Honour of Thailand-Malaysia Cooperation Penulis : S.M. Zakir Mohamad Saleeh Rahamad Kemtong Sinwongsuwat Penerbitan : Faculty Of Liberal Arts, Prince Of Songkla University, Hatnyai, Thailand & National Writers Assiociation Malaysia(PENA)
Sinopsis :
From the 17th till the 19th of 2008, an academic meeting was held at the Depatment of Languages and Linguistics, Faculty of Liberal Arts, University Prince of Songkla Hatnyai, Thailand. In conjunction with National Writers Assosiation Malaysia (PENA), the colloquium aims to promote academic discussion in a friendly atmosphere among language teachers, scholars, and graduate students on topic and isues related a number of research papers based on empirical studies and recent information on culture, language and literaly education of both countries. Relizing that these papers full of such information deserves to be disseminated to a large audience to improve their understanding about the academic world that is acting as a cross-cultural evperience, hence this book was published.
Genting Gaza, Gentingnya, Genting ISBN 978-983-42578-9-7
Pengarang : Shamsudin Othman
S.M. Zakir
Sinopsis :
Daripada cetusan spontan penyair-penyair di Rumah PENA yang berkumpul membaca sajak-sajak yang memprotes keras kekjaman Zionis-Israel terhadap umat Islam Palestin di Gaza, dalam serangan ganas yang bermula pada 27 Disember 2008 sehingga berlanjutan ke tahun 2009 telah menghimpunkan sejumlah puisi yang cukup menguja. Ia bukan sekadar menyatakan simpati dan kemarahan terhadap rejim Zionis-Israel tetapi juga membawa suara penyair yang dalam apa keadaan pun menolak kekejaman perang. Melihat kanak-kanak yang tidak berdosa dibunauh dengan kejam oleh tentera Israel,begitu juga orang awam yang tidak berupaya dibom seperti benda permainan memarakkan semangat penyair untuk bangkit menyeru dunia agar segera menghentikan segala perbuatan kebinatangan itu.
Tahun diterbitkan : 2006 ISBN 98342578-3-XISBN 98342578-3-X
Penerbit : Persatuan Penulis Nasional Malaysia(PENA)
Sinopsis: Merentas wacana yang pelbagai dengan persepsi daripada kerencaman idealisme dan etnik. Terhasil daripada suatu pertemuan intelektual Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional pada 4-6 Ogos 2006, buku ini bukan sahaja merakam perjalanan sejarah intelektual dan pemikiran malah berupaya memterjemahkan rupa bangsa di Malaysia yang tetap dengan akar masing-masing. Sememangnya ada perbezaan aspirasi daripada etnik yang berlainan,namun setiap pandangan masih berdasarkan kesedaran kebangsaan yang bersifat kolektif. Dalam konteks semasa makalah dalam buku ini memberikan inspirasi kepada pembuat dasar untuk merangka pelan tindakan yang lebih formal dan berwewenang untuk masa hadapan. Sekurang-kurangnya sudah ada bayangan yang bakal diterima secara kolektif oleh majoriti etnik yang pelbagaicdi negara ini, terutamanya tentang Dasar Kesusasteraan Nasional.
Penyair terus bersemangat jayakan majlis meskipun dilanda 'musibah' pada saat akhir
MALAM Baca Puisi Pena membuktikan perpaduan kukuh di kalangan warga penyair negara ini dalam usaha mereka memasyarakatkan genre terbabit apabila ketiadaan hos pada saat akhir seperti dirancang, tidak menjejaskan persembahan program.
Tindakan pantas Dr Ahmad Razali dan Shamsudin Othman menjadi moderator bidan terjun menyelamatkan program terbabit daripada dibatalkan dan keuzuran rpmbongan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) pimpinan Dr Rosli Sahudin tidak memberi kesan.
Ramai penyair sedia menawar bakti untuk beraksi di pentas puisi yang menampilkan tetamu undangan khas iaitu Sahrunizam Abd Talib, Marjan S, Daeng Ramliakil dan anak Sasterawan Negara (SN), Allahyarham (Dr) Arena Wati, Hasanuddin.
Penyair kelahiran Pahang, Daeng Ramliakil, menggegarkan gelanggang dengan puisinya, Seloka Haji Mufti bin Muhammad Duniawi, Kawanku Penyewa Hotel 7 Bintang Neraka Wil, bernada sinis mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Pembelaan terhadap bahasa dan bangsa Melayu diteruskan penyair cilik, Syed Mohamad Idris yang juga anak Daeng Ramliakil ketika membaca, Gurindam Islam Kini karyanya ayahnya dan tidak kurang sinis apabila menyindir manusia berdosa dan lupa diri kepada kekuasaan Ilahi.
Tak ramai berani bijaksana pilih akal
jadi penentang penjajah kini,
nyata syaitan
dan jin berlembaga manusia.
Muslimin kini tak dihormati tak dicontohi
berlambak, bertimbun bercabang lidah lagi keji.
Mukmin dunia ini sudah letih, sudah lesu
asyik-asyik jin dan iblis yang berdosa bernoda kaya raya.
Persembahan beremosi, Ketua Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Mohamad Daud Mohamad, lewat Nyanyian Dari Diri juga protes terhadap PPSMI yang dilihat meminggirkan anak Melayu secara di luar sedar dalam jangka panjang mendapat simpati khalayak.
Dengan sejuta alasan lidah tak berlapik
Menyuarakan PPSMI itu
Demi masa depan anak bangsa
Sedangkan dia sengaja
Membelakangkan perlembagaan negara
Deklamator wanita, Zainab Talib, mencuri perhatian khalayak dan menggoyahkan hati lelaki dengan suara manjanya lewat puisi romantisnya, Maafkanku yang menyindir penganiayaan Adam terhadap Hawa kerana terlalu murah hati dalam memberi maaf.
Wahai insan ....
Maafkanlah aku ....
Kerana hatiku penuh kemaafan
Biarpun seribu aniaya terhadapku
Namun sejuta kemaafan tetap kuhulurkan
Maafkanlah aku.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (E-Dagang), Universiti Kuala Lumpur (UNIKL), Amran Ibrahim Rashidi, turut dikenali sebagai D’Rimba dan semakin aktif di gelanggang puisi tampil dengan puisi Percakapan Kepada Yang Setia karya penyair mapan, Shamsudin Othman.
Merdeka dan Ogosku yang setia
Mari kita tabur dan siramkan tanah warisan ini
Dengan sumpah berharum mawar.
Johan Pertandingan Puisi Kemerdekaan 2008 , Nik Mustakim Nik Musa yang juga pelajar Diploma Pentadbiran Perniagaan International Islamic Colleague (IIC) turut memeriahkan majlis dengan puisi karya Jariah aji Taha, Di Bawah Bumbung Langit-Mu
Di bawah bumbung langit-Mu tempat kita berteduh
Telah tertuang ke bumi lima puluh tujuh kolah air mata
Kini menjadi kolam tempat kita mencuci luka lalu
Hingga tidak tersisa pun segaris kepedihannya.
~admin
PUISI, syair dan gurindam sejak dari dulu memang dekat di hati masyarakat walau di mana juga tanpa mengira batas kaum mahupun sempadan negara. Karya-karya seni itu menjadi saluran dan nadi kepada para karyawan dalam usaha untuk menyuarakan isi hati mereka kepada umum. Malah, golongan ini juga sanggup memerah minda bagi menjadikan karya-karya nukilan mereka sebagai sebahagian daripada luahan yang mewakili isi hati masyarakat. Pelbagai tema yang dititip daripada rencah-rencah kehidupan semasa telah diangkat menerusi bait-bait kata yang penuh puitis tetapi sarat dengan mesej yang tersirat. Pendekatan itulah yang telah diserapkan pada program bulanan Baca Puisi di Rumah Persatuan Penulis Nasional (Pena) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kedinginan malam pada malam itu seakan-akan dihangatkan dengan deklamasi puisi kalangan ahli Pena yang begitu peka dengan perkembangan semasa. Pelbagai jenis puisi dan gurindam telah dipersembahkan, tetapi yang menjadi topik popular pada program itu ialah tentang perjalanan di negara Thailand yang dilawati oleh beberapa orang ahli PENA.
Program yang sepatutnya diacarakan oleh Dr. Ibrahim Ghaffar pada malam itu menampilkan ramai penyair daripada kalangan orang lama dan generasi baru. Walaupun beliau sedikit kelewatan pada malam tersebut disebabkan oleh perkara yang tidak dapat dielakkan, namun majlis tersebut masih hangat diteruskan dengan diambil alih oleh Dr. Razali Yusof dan En. Shamsudin Othman.Menariknya program itu memperlihatkan kreativiti dan inovasi para penyair dengan gaya pendeklamasian mereka yang tersendiri.
Topik yang berkisar tentang virus Influenza A (H1N1) terus menjadi pilihan para pemuisi, antaranya menerusi kemunculan Khalid Salleh yang mendeklamasikan puisinya yang berjudul Babi dan Kebabian. Khalid menggunakan pendekatannya menggunakan subjek 'babi' sebagai metaforanya untuk menggambarkan tentang keadaan yang melanda dunia dan sikap manusia.
Para penyair lain yang turut mendeklamasi puisi ialah Mohamad Daud Mohamad, SM Zakir, Dr. Razali Yusof, En. Shamsudin Othman, Daeng Ramli Md. Akil, Amiruddin Mohd Ali Hanafiah, Raja Rajeswari Seetha Raman dan ramai lagi.
Program baca puisi ini telah berlangsung di Laman PENA pada setiap bulan minggu pertama sejak Jun 1998. Acara ini merupakan acara sastera yang paling popular dan paling konsisten di Malaysia buat masa ini.
Bermula Ogos 2005, PENA telah memperkenalkan Baca Puisi PENA-Dewan Sastera : Pengakuan Penyair oleh tiga orang penyair yang dijemput bukan sahaja membaca puisi tetapi juga mengutarakan proses kreatifnya. Baca Puisi PENA-Dewan Sastera : Pengakuan Penyair bermula Ogos 2005 dianjurkan bersama Majalah Dewan Sastera, Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP). Bagaimanapun bermula pada 6 April 2007 PENA kembali kepada Baca Puisi secara santai dengan mengundang mana-mana institusi atau individu secara bebas. Aktiviti ini yang dijalankan pada setiap hari Jumaat minggu pertama setiap bulan boleh dihadiri oleh sesiapa sahaja yang ingin mendekatkan diri dengan aktiviti berpuisi.